Khamis, 10 Disember 2009

Kota Belud: Makna Tersirat Disebalik 1Malaysia.



Kerajaan Malaysia dibawa pimpinan DSN telah melancarkan gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” Akan tetapi bagi para pemimpin di Kota Belud serta para pegawai khasnya pegawai-pegawai di Pejabat Daerah Kota Belud mempunyai makna tersirat khusus dalam usaha menghayati apa itu gagasan 1Malaysia.

Bagi para pemimpin ADUN Tempasuk DHMJ, gagasan ini mempunyai makna yang mendalam dan meresap dalam jiwanya. Gagasan ini yang memberi sumber inspirasi kepada diri DHMJ. Lihat sahaja PKR DHMJ bagi DUN Tempasuk. Tidak terkecuali sepupu kepada DHMJ iaitu saudara Arshad Bistari dan Rusdin Mustafa turut menghayati gagasan 1Malaysia.

Manakala bagi DARD pemimpin peringkat Parlimen P.169 Kota Belud tidak ketinggalan menghayati Gagasan 1Malaysia. Beliau merupakan pendorong utama dan sebagai pembakar semangat kepada adiknya, Tajuddin Hj. Dahlan. Semangat yang meresap dalam jiwa sanubari Tajuddin Hj Dahlan turut memberi inspirasi kepada Ah King dan Rashid Midan dan juga saudara Aslee Parlin. Akan tetapi bagi DUN N7 Usukan, Datuk Japlin selaku ADUN telah mempelopori semangat 1Malaysia dan beliau terbukti tersenarai dalam Book of Record dari SPRM (Seni Pertambahan Ringgit Malaysia).

Oleh yang demikian, sekiranya kerajaan BN masih menggunakan khidmat wakil-wakil rakyat ini di Kota Belud, saya rasa gagasan 1Malaysia akan tercapai dengan jayanya sebelum tahun 2020 dan kekayaan dapat dipertingkatkan. Namun jangan lupa ini hanya untuk sanak saudara, kaum kerabat pemimpin serta para tukang pukul dan tukang kipasnya sahaja…orang lain jangan mimpi!

Bagi pegawai kerajaan khasnya kakitangan Pejabat Daerah Kota Belud terutamanya di Bahagian Pembangunan, gagasan 1Malaysia sudah sedia difahami dan mereka terdahulu yang mengahayatinya dengan penuh perasaan. Siapa tidak tahu akan semangat mereka…tiada siapa yang boleh menafikannya…Rakyat Didahulukan(…Merana) dan Pencapaian Diutamakan (…dalam usaha mengejar kekayaan).

Mungkin inilah yang dikatakan sandiawara dunia…


Rujukan: Kamus Peninggalan Tuan Karun

Selasa, 1 Disember 2009

JKKK HILANG WIBAWA, SALAH SIAPA?





Kerajaan perlu menjelaskan kepada umum akan kewibawaan JKKK (JAWATANKUASA KEMAJUAN DAN KESELAMATAN KAMPUNG) yang diabaikan tetapi kontraktor pula yang dipuja, di mana apa yang dapat kita perhatikan mutakhir ini, zaman pemerintahan UMNO Sabah, tidak seindah berbanding dengan kerajaan terdahulu di Sabah contohnya zaman USNO, BERJAYA dan PBS di mana setiap pembangunan yang dibawa masuk ke kampung-kampung mestilah melalui atau atas pengetahuan JKKK walaupun pelaksanaan projek tersebut dikendalikan oleh syarikat-syarikat kontraktor.


Dalam masa yang sama juga JKKK diberi peluang mengendalikan projek-projek pembangunan di kampung masing-masing di mana juga kebanyakan peruntukan dari KPLB, Peruntukan Khas ADUN dan Parlimen semuanya dikendalikan oleh JKKK, atas dasar andai JKKK memperolehi keuntungan maknanya JKKK di setiap kampung mempunyai tabung bagi tujuan untuk membantu mereka-mereka yang didalam kesusahan serta mereka-mereka yang dilanda bencana alam. Ini memberi dorongan kepada JKKK untuk terus aktif merancang pembangunan kampung masing-masing disebabkan perbelanjaan mereka boleh ditampung oleh tabung badan JKKK berkenaan.


Realiti kebelakangan, ini kerajaan UMNO khasnya di Kota Belud, JKKK digunakan apabila ada masalah di kampung-kampung yang lagaknya dilayan seperti kadam kepada Yang Berhormat wakil rakyat, namun akan tetapi segala projek pembangunan dari peruntukan mana pun sama ada dari KPLB, Peruntukan Khas ADUN dan Parlimen, semuanya dikendalikan oleh syarikat-syarikat kontraktor dari sekecil zarah hingga sebesar gajah, yang dikendalikan secara kronisme. Dalam masa yang sama JKKK juga tidak diberi peluang untuk memantau setiap projek yang dilaksanakan cuma diberi elaun RM100 sebulan oleh KPLB. Ini kerana semua tugas memantau projek telah diambil-alih oleh tukang pukul PKR atau adik beradik serta saudara mara wakil rakyat.


Dengan elaun RM100 dari KPLB, mana mungkin JKKK boleh mengendalikan mesyuarat bulanan dengan sempurna serta membuat profile kampung. Oleh itu kalau beginilah keadaan JKKK adalah dicadangkan lebih baik kerajaan UMNO Sabah melantik para kontraktor sebagai JKKK di kampung-kampung dan maksud singkatan JKKK ditukar kepada Jawatankuasa Kroni dan Kontraktor Kampung untuk membantu mengendalikan projek atas kepentingan pihak-pihak tertentu.


Namun jika sekiranya kerajaan Sabah ingin benar-benar melaksanakan gagasan 1Malaysia. Rakayat Didahulukan. Pencapain Diutamakan yang diilhamkan oleh YAB PM, maka sewajarnya kerajaan mengembalikan semula kuasa kepada JKKK untuk mengendalikan projek-projek di bawah kerajaan negeri dan peruntukan khas ADUN serta Parlimen dan kembalikan juga kuasa kepada JKKK untuk memantau setiap pembangunan yang dibawa masuk ke kampung-kampung serta wujudkan tabung-tabung JKKK di setiap kampung melalui projek pembangunan yang masuk di kampung-kampung.


Oleh yang demikian kami pengundi penentu masa depan kerajaan berfikiran sekiranya Kerajaan Sabah khasnya MP Kota Belud dan para ADUNnya tidak mampu atau enggan mengembalikan kuasa serta memberi peluang kepada JKKK untuk mengendalikan projek kerajaan negeri dan peruntukan khas ADUN serta Parlimen maka ada baiknya kami membuat keputusan Pakai Roket pergi ke Bulan dan menggunakan Mata Sabit...Makan Sup Panas-panas (SAPP).

Sekian, Terima Kasih.

Mohon diperhalusi.

Isnin, 30 November 2009

POLITIK IRRANUN DAN KEBANGKITAN

Di Manakah Formula 2:1:1?


Semangat kaum Irranun untuk menjadi pemimpin mula melonjak berkobar-kobar setelah Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia menang dalam pilihanraya DUN Sabah pada tahun 1994. Sebelum itu tiada seorang pun daripada sukubangsa Irranun yang sanggup menjadi calon melainkan Tan Sri Pandikar, ini pun dalam keadaan agak terpaksa demi sukubangsa Irranun. Kemenangan Tan Sri Pandikar telah memberi ruang kepada beliau untuk menjawat, jawatan penting dalam kabinet negeri Sabah.


Semenjak itulah semangat sukubangsa Irranun untuk menjadi calon telah mula berkobar-kobar, menyebabkan ramai yang cuba melobi untuk menjadi calon dan ada diantaranya cuba pula mencantas Tan Sri Pandikar juga sebaliknya. Namun demikian tidak kurang pula yang mengambil keputusan untuk bertanding sama ada atas tiket pembangkang mahupun tiket bebas. Sebagai contoh Datu Bandira Datu Alang, Razak Rakunman, Norbin Aluh, dan Awang Laiman. Namun terdapat juga calon seperti saudara Masud Nanang yang menarik diri sebelum pembuangan undi dan menjual pencalonannya kepada BN dengan harga RM10,000.


Pada masa sekarang ini pula setelah Tan Sri Pandikar tidak dicalonkan oleh BN pada pilihanraya 2008 kerana kononnya dicantas oleh anak kepada rakan karibnya yang ketika dahulu memegang jawatan Ketua Kampung. Namun Tan Sri Pandikar tetap dengan kependikarannya, menjadikan Pak Lah tiada pilihan melainkan melantik beliau untuk menjadi Pengerusi Tetap Dewan Rakyat akibat faktor kegagalan BN mencapai 2/3 di Parlimen.


Ketika ini timbul pula desas-desus dikalangan sukubangsa Irranun, terdapat beberapa pihak berlumba-lumba, lobi-melobi semata-mata mahu menjadi calon wakil rakyat, antaranya saudara Roslan Manshor, Baghdad Turogan, Idris Kisab dan beberapa orang lagi di kalangan dalam parti UMNO. Namun apa saya agak simpati dengan pemikiran politik Idris Kisab yang baru setahun jagung dalam permainan politik sudah pula berangan-angan menjadi wakil rakyat. Seperti yang saya maklum antara kriteria yang biasanya dinilai sebagai calon oleh BN adalah seseorang calon mestilah mempunyai kemampuan ekonomi selain ada kereta besar, rumah besar tetapi isteri besar tidak diambilkira. Idris Kisab tidak memiliki kesemua kriteria ini dan tidak mampu memilikinya kecuali, ini akan menyebabkan liabiliti kepada parti BN dan UMNO khasnya jika dipilih menjadi calon untuk mewakili BN.


Namun demikian kekuatan ekonomi Idris Kisab mungkin mampu dipertingkatkan memandangkan baru-baru ini, beliau dikhabarkan melaksanakan projek Jambatan Kg Tawadakan menggunakan lesen saudara Baghdad Turogan (Titian Jasa Enterprise). Keadaan jambatan yang memerlukan pembaikan segera sebelum ini menjadi kontroversi apabila ada pihak yang menyiarkannya di dalam akhbar. Maka ini tidak syak lagi bahawa dalang disebalik penyebaran Jamabatan Tawadakan ini dalam surat khabar dan blog adalah saudara Idris Kisab dan Baghdad Turogan (PKR Tempasuk) dan kemungkinan atas nasihat ADUN N6 Tempasuk.


Sukubangsa Irranun diseru berfikir sejenak dan jangan berangan-angan serta berebut-rebutan mahu menjadi calon. Janganlah berebut-rebutan memiliki barang yang tidak sepadan dengan kamu, akibatnya kamu akan ketinggalan dan balik ke zaman purba. Kenapa saya berfikiran demikian? Cuba kamu bayangkan kawasan N6 Tempasuk 60% pengundi dari sukubangsa Irranun. Kerana sikap Irranun yang berebut-rebutan menyebabkan sukubangsa ini tercicir daripada senarai calon. Persoalannya:-

1. Adakah sukubangsa Irranun ini lebih berakal (nyaudud akal yan).

2. Adakah sukubangsa Irranun ini kurang akal (daah akal yan).


Oleh yang demikian, saya menyeru kepada sukubangsa Irranun, berbaktilah kepada masyarakat dan kaum kamu serta jangan berebut-rebutan. Berangan-angan macam Mat Jenin di atas kelapa dikhuatiri jatuh tercedera pula, alangkah susahnya. Cuba anda bayangkan dulu orang yang paling berangan-angan menjadi calon BN di Tempasuk seperti Mastan Hj Hassan pada tahun 2004 dan pada ketika itu dia memegang jawatan Naib Ketua Bahagian UMNO dan selepas itu saudara Awang Salleh Hj Mahmud pula yang melobi jadi calon BN, hinggakan beliau menggunakan wang melebihi RM100,000. oleh itu sampai sekarang khabar 2 orang ini dalam politik Kota Belud tidak timbul-timbul.


Oleh yang demikian akhir sekali saya menyeru, janganlah berebut-rebutan dan bersatulah supaya akan datang kawasan DUN N6 Tempasuk diwakili oleh sukubangsa Irranun dengan mengembalikan formula 2:1:1 Semoga kalian berjaya hendaknya.

Ahad, 29 November 2009

TEMPASUK KU: Yang Tulus, Yang Polos?




ADUN TEMPASUK said...

Berikut adalah petikan komen ikhlas oleh DHMJ yang saya petik dari blog Kelapa Mawar

“Salam KM, Selamat Hari Raya Aidiladha maaf zahir dan batin….setelah membaca paparan KM pada kali ini saya terpangil untuk mengambil bahagian dalam ruangan komen ini kerana paparan itu menyentuh soal DUN Tempasuk. Soal Baghdad selaku PKR dikatakan pelobi utama semua projek kawasan Tempasuk itu tidak betul. Kalau dia dikatakan mengagih peruntukan berdasarkan keperluan masyarakat itu betul kerana itu adalah tugas PKR setiap kawasan DUN. Selaku wakil rakyat tugas kami hanya mencadangkan projek-projek pembangunan untuk kepentingan rakyaat, setelah diluluskan barulah tugas Pejabat Daerah untuk menentukan spesifikasi dan melantik kontraktor pelaksana. Ingin saya jelaskan di sini bahawa peruntukan DUN biasanya dilaksanakan oleh JKKK setiap kampung biasanya kos projek tidak melebihi 10 ribu hanya kepada projek-projek yang mendesak, sasaran utama rakyaat miskin. Kalau projek khas yang melebihi peruntukan akan dilaksanakan oleh kontraktor kelas F melalui cabutan undi atau sebut harga ini adalah dasar kerajaan untuk membantu kontraktor-kontraktor bumiputra. Apa yang saya perhatikan di Kota Belud semua kontraktor kelas F mendapat kerja, kecuali mereka yang tidak ada kelas dan tidak ada timbul soal pembolotan. Ada juga saya difahamkan terdapat sebilingan kecil kontraktor terpaksa menjual projek mereka kepada orang lain kerana tidak punya kemampuan dari segi modal itu urusan merekalah tidak ada kena mengena dng salah guna kuasa dan rasuah. Kebanyakkan projek dilaksanakan di kawasan DUN tempasuk saya sendiri tidak tahu siapa kontraktornya kerana itu bukan tugas saya lagi, itu sudah menjadi tugas Pejabat Daerah dan Jabatan-Jabatan lain yang menjadi pelaksana kepada sesuatu projek yang diluluskan. Mungkin juga orang-orang yang mengeluh ini memohon projek untuk kepentingan peribadi mereka atau mereka memohon untuk menjadi pelaksana sesuatu projek walhal mereka tidak memeliki licin PKKK lalu tidak diluluskan, menyebabkan mereka sakit hati dan keciwa lalu membuat tuduhan liar untuk mendapatkan perhatian. Saya ingin tegaskan, Kalau sekiranya ada berlaku salah guna kuasa atau kerja-kerja tidak mengikut spesifikasi, orang ramai boleh mengadu samaada kepada wakil rakyat mereka atau terus kepada pihak yang berwajib”.

Ulasan dan Laporan

Kehadapan YB DHMJ insan pilihan rakyat jelata kawasan lindungan bulan N6 Tempasuk

YB Datuk,

Setelah beberapa purnama lamanya rakyat jelata memerhatikan urusan pentadbiran Datuk dikawasan lindungan bulan bernama N6 Tempasuk, maka ini hambah sebagai penyampai suara kegusaran rakyat jelata yang makan hati berulam jantung, mempersembahkan sembah salam kepada YB Datuk.

Setelah membaca ulasan Datuk diruangan Blog Kelapa Mawar, hambah penyampai suara rakyat jelata, terdetik di hati untuk menyampaikan baberapa perkara yang manjadi kegusaran rakyat jelata buat tatapan Datuk hendaknya.

Pertama sekali, perkara bersangkutan dengan saudara Baghdad Turogan. Memang benar Baghdad tidak mempunyai kuasa meluluskan peruntukan secara dasarnya, namun kuasa yang diturunkan kepada beliau sebagai PKR oleh ADUN N.6 Tempasuk, maka beliau boleh meluluskan projek yang menggunakan dana atau peruntukan ADUN N6 Tempasuk. Dalam masa yang sama juga beliau bertugas bertindak sebagai individu yang ditugaskan untuk mengagihkan keseluruhan projek bagi DUN N6 Tempasuk. Maknanya hanya peruntukan diluar peruntukan ADUN seperti KPLB baghdad tidak berkuasa meluluskannya, namun boleh bertindak menyenaraikan kontraktor mana yang dicadangkan untuk sesuatu projek di DUN N6 Tempasuk. Siapa kontraktor yang sering disenaraikan oleh Baghdad tidak perlu dipersoalkan lagi kerana umum pun telah mengetahuinya.

Perkara kedua, berkenaan JKKK, sedikit pembetulan mengenai kenyataan Datuk, bahawa JKKK hanya boleh mengendalikan projek bernilai tidak melebihi RM10,000 iaitu bagi peruntukan melalui Pejabat Daerah Kota Belud, sebenarnya mengikut pengetahuan hamba yang tidak seberapa, JKKK boleh mengendalikan projek bernilai tidak melebihi RM25,000. Bersangkutan dengan perihal JKKK, untuk makluman Datuk yang termaklum JKKK sejak beberapa purnama ini tidak pernah diberikan peluang untuk mengendalikan sebarang projek seperti yang Datuk sebutkan, contoh yang paling dekat projek yang telah Datuk kurniakan kepada golongan sasar projek mendesak seperti di Rampayan Ulu kepada insan bertuah Musram Rakunman, yang menambah kekeliruan rakyat jelata di manakah kenyataan Datuk bahawa projek bernilai tidak melebihi RM10,000 akan dikendalikan oleh JKKK, sedangkan projek itu telahpun dianugerahkan kepada seorang kontraktor proxy Baghdad.

Perkara ketiga berkenaan dengan kenyataan Datuk bahawa rakyat jelata mencemburui Baghdad Turogan hinggahkan membuat tuduhan liar, membuatkan rakyat jelata menangis tak berairmata, sebak di dada mengenangkan nasib, rintihan tidak dipedulikan. Sesungguhnya Datuk, kami rakyat jelata, jauh sekali berburuk sangka, cuma yang menjadi kegusaran kami, kenapakah semua projek dimonopoli oleh Syarikat Titian Jasa Enterprise. Contoh yang paling dekat berkenaan projek PPRT yang dimonopoli oleh Syarikat Titian Jasa Enterprise. Selain itu Projek membina jambatan gantung di kampung-kampung, jambatan di Tawadakan, jalan-jalan raya serta lorong-lorong kecil, semuanya dimonopoli oleh Titian Jasa Enterprise. Secara keseluruhannya hampir 85% projek di DUN N6 Tempasuk dikendalikan oleh Titian Jasa Enterprise. Cemburukah ini namanya?

Untuk makluman andainya Datuk terlupa, dalam perlembagaan ada menerangkan berkenaan khasnya definisi itu fokuskan kepada kedudukan seorang PKR, dengan jelas menyebut bahawa PKR tidak boleh melaksanakan projek dengan bertindak sebagai kontraktor/ pemilik lesen bagi DUN dimana ia menjadi PKR. Ini jelas termaktub. Cenburukah rakyat jelata?

Seperkara yang hampir terlupa berkenaan dengan kenyataan YB Datuk “Ada juga saya difahamkan terdapat sebilingan kecil kontraktor terpaksa menjual projek mereka kepada orang lain kerana tidak punya kemampuan dari segi modal itu urusan merekalah tidak ada kena mengena dng salah guna kuasa dan rasuah”.... Kerajaan selama ini seringkali menyuarakan kebimbangan mengenai perlakuan segelintir kontraktor yang meng-alibabakan projek. Ini sememangnya tidak menyalahi undang-undang negara namun dari aspek etika sudah pasti dan jelas adalah menyalahi etika. Jadi nampaknya kawasan lindungan bulan Tempasuk cuba menongkah arus, mana tidaknya kerajaan pusat cuba mengurangkan ketirisan dan kebocoran tetapi kita lain pula ceritanya seakan-akan cuba menambahkan ketirisan dan kebocoran di Kota Belud. Mungkin betul juga bukan urusan YB Datuk?

Dengan ini, saya wakil penyampai kegusaran rakyat jelata memohon maaf daripada YB Datuk kerana kami terpaksa menuliskan jua warkah ini memandangkan penjelasan Datuk tidak memenuhi skema jawapan yang kami perlukan sebagai rakyat jelata yang mengamanahkan urusan pentadbiran dan kemashlahatan kami di DUN N6 Tempasuk.

Sekian terima kasih,

Mohon diperhalusi.

Jumaat, 27 November 2009

DSSK dan TSP: Sekapal Tidak Sehaluan
















Sedikit latarbelakang DSSK. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik. Setelah tamat pengajian, beliau dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Belud. Kemudian beliau menceburi bidang politik sebagai salah seorang calon bagi DUN Usukan. Malangnya beliau tidak pernah menang dalam pilihanraya yang pernah disertainya sehinggalah UMNO dibawah masuk ke Sabah oleh Tun Datu Mustapha. Kemudian beliau dipilih sebagai calon UMNO bagi DUN Usukan. Beliau berjaya memenanginya buat kali pertama dalam sejarah hidupnya. Kemudian beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah menggantikan Tun Sakaran yang dilantik sebagai TYT Sabah. Namun langit ternyata tidak selalunya cerah apabila beliau terpaksa meninggalkan kerusi empuk Ketua Menteri Sabah namun bukan kerana skandal rasuah mahupun dipecat tetapi akibat janji DS. Dr. Mahathir (sekarang Tun) bahawa Sabah merupakan satunya-satunya negeri yang diberikan keistimewaan oleh Mahathir dengan menghadiahkan penggiliran kuasa Ketua Menteri. Kemudian pada pilihanraya seterusnya Tahun 2004, DSSK telah diamanahkan oleh Pak Lah untuk mewakili penduduk Kota Belud sebagai MP Kota Belud. Namun demikian malang tidak berbau, DSSK telah tersingkir daripada senarai calon PRU-12. Lebih malang lagi ketika itu beliau tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti UMNO. Ini kerana demi memenuhi janji yang dibuatnya dihadapan Pak Lah bahawa beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan jawatan Ketua Bahagian UMNO P.169 Kota Belud. Malang yang menimpah dalam kerjaya politik DSSK akhirnya menjadi dendam kesumat terhadap DHMJ yang dianggap oleh beliau sebagai ahli politik yang kurang matang kerana sanggup mengimport beras dari Thailand sedangkan beras tempatan berlambak di pasaran.


TSP atau lebih senang dikenali dikalangan sukubangsa Irranun dengan panggilan sebagai Bugang dan dalam laman sesawang beliau lebih senang dipanggil Pendikar Cahaya. Itulah panggilan TSP bagi kalangan sukubangsa Irranun. Bagi sukubangsa selain Irranun, beliau lebih senang dan kenampakan gembira dengan panggilan Pak Amin. Beliau mempunyai liku-liku perjuangan politik yang terlalu panjang untuk diceritakan. Secara ringkasnya beliau berkelulusan LLB dan terlibat lapangan politik bermula dengan menyertai PAKEMAS sebagai penerus kepada perjuangan Saudara Pinjaman Hassin yang mana Pinjaman juga merupakan penerus kepada perjuangan Haji Mulia. Kemudiannya beliau bertanding dalam beberapa siri pilihanraya DUN Sabah. Ketokohan beliau sebagai pemimpin akhirnya terserla setelah menenagi Pilihanraya DUN Tempasuk dibawah payung TUN Mustapha (ketika itu sebagai pembangkang). Kebijaksanaan TSP lebih menyerlah setelah berjaya merampas AKAR daripada penguasaan Datuk Mark Koding dan setelah itu beliau menjadi Presiden AKAR. Beliau pernah menjawat pelbagai jawatan sama ada di peringkat Negeri Sabah dan peringkat persekutuan sebagai menteri. Namun demikian beliau juga menerima nasib yang sama seperti DSSK disebabkan aliran politik kurang matang oleh DHMJ yang lebih rela mengimport beras Thailand daripada menggunakan beras tempatan super wangi. Tetapi bah kata pepatah “tuah ayam nampak di kaki tetapi tuah manusia siapa tahu”. Akibat pencapaian PRU-12 yang yang terburuk dalam sejarah BN sejak 50 tahun yang lalu, maka Pak Lah (ketika itu PM), tiada pilihan terpaksa melantik TSP sebagai Dewan Rakyat memandangkan BN gagal mencapai sasaran 2/3 di Parlimen. Bagi mengelakkan kecelaruan di Parlimen dan untuk menjadikan kerajaan lebih menguasai Parlimen walaupun gagal mencapai 2/3, maka TSP merupakan orang yang paling layak dan tepat menjawat, jawatan Speaker Dewan Rakyat.


DSSK dan TSP merupakan rakan sepermainan yang bukan lagi asing bagi Daerah Kota Belud malahan pada peringkat nasional pun nama kedua-dua individu ini sedikit mencorakkan politik tanahair. Berbalik kepada malang yang menimpa DSSK dan TSP, telah menyebabkan mereka terpaksa mewujudkan persepakatan politik, namun pemerhati politik lebih melihat persepakatan mereka sebagai “persepakatan kawan dan lawan”. Apa yang dimaksudkan dengan persepakatan kawan dan lawan akan ceritakan kemudian.

Persepakatan politik ini telah mewujudkan momentum politik yang menyebabkan lahirnya TEAM A dan TEAM B dalam UMNO Kota Belud. TEAM A terdiri daripada DSSK, TSP dan Barur. Manakala TEAM B pula terdiri daripada DHMJ, Japlin Akim, Awadnir Matanggal dan Tadzul Radim. Ini apa yang tersenarai dalam kertas. Namun demikian yang tidak tersenarai lain pula ceritanya.


Berikut adalah situasi yang terjadi:

1. Selepas kekalahan Tadzul Radim dalam pertandingan pemilihan ketua pemuda UMNO Kota Belud, DSSK telah menghubungi beliau dan menyatakan sokongan terhadap perjuangan Tadzul dan menasihatinya agar tidak berputus-asa walaupun mengalami kekalahan. DSSK secara peribadi menyatakan akan memberi peluang kepada Tadzul sekiranya beliau mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian. DSSK juga turut meluahkan rasa kekesalan yang amat dalam berhubung konspirasi yang menyebabkan kekalahan Tadzuldan beliau dengan nada ikhlas menyatakan itulah kehendak TSP.

2. Selepas kekalahan DHMJ dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, TSP meluahkan rasa kesal atas kekalahan itu dan beliau melahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpah DHMJ. TSP menyatakan itu adalah kehendak DSSK dan konco-konconya. TSP memberi isyarat bahawa beliau terpaksa melakukannya demi janjinya terhadap DSSK.


Sedikit sejarah bagaimana DHMJ, Japlin Akim dan Barur terlibat dalam arena politik. Mereka ini merupakan insan ciptaan politik TSP bagi menentang dan seterusnya membunuh kerjaya politik DSSK. DHMJ merupakan anak didik TSP dan TSP adalah mahagurunya. Seingat saya pada tahun 1999 TSP tidak berjaya menyenaraikan diri sebagai calon wakil rakyat bagi DUN Tempasuk kerana dicantas oleh DSSK. Maka TSP meletakkan syarat iaitu sekirannya TSP tidak dapat dicalonkan maka beliau mesti diberikan hak untuk memilih orang yang menggantikannya. Maka beliau membuat keputusan yang didalam jangkaan bahawa insan menjadi pilihan beliau adalah DHMJ sebagai calon bagi DUN Tempasuk. Disinilah bermula kerjaya politik DHMJ secara sepenuh masa.


Manakala Japlin Akim pula juga merupakan insan ciptaan politik TSP yang dihadiahkan khas buat DSSK. Sokongan TSP secara terang-terangan kenampakan sewaktu pertandingan pemilihan ketua pemuda UMNO Kota Belud pada tahun 2004, di mana secara terang-terangan konco-konco TSP (seperti Masbok) berkempen bagi pihak Japlin Akim, yang ketika itu lawan Japlin untuk merebut jawatan ketua pemuda adalah Ibadat Mohamad insan tajaan DSSK yang juga turut dihadiahkan istimewa buat TSP. Barur @ Baharul Sawi merupakan pemuda yang berkelulusan setakat SPM (sekarang Degree tapi Musli Oli kata degree dibeli dari Filipina). Barur merupakan insan ciptaan politik terbaru TSP setakat ini bagi menggantikan DHMJ yang disifatkan oleh TSP sebagai penderhaka kepada Mahaguru.


Walaupun wujud TEAM A dan TEAM B, tetapi sebenarnya diluar kertas hanya DSSK dan TSP yang mencorakkan politik di Kota Belud. Mereka dilihat pada dasarnya merupakan regu tetapi hakikatnya regu yang boleh kita katakan “SEKAPAL TIDAK SEHALUAN”. DSSK dan TSP mencipta lebih banyak kemungkinan politik di Kota Belud. DSSK secara diam-diam lebih banyak menyokong serta mendesak agar sukubangsa Irranun lebih ke hadapan dalam arena politik, dengan matlamat serempang dua mata iaitu demi membunuh kerjaya politik TSP secara diam-diam. Manakala TSP seperti yang saya katakan sebelum ini, pula lebih ke arah cuba mewujudkan semangat kebangkitan sukubangsa Bajau dalam arena politik Kota Belud atau dalam ertikata yang lebih mulia mencari ayam sabungan untuk dilagakan kepada DSSK. Ringkasnya DSSK dan TSP telah menyebabkan meletusnya perang dingin politik Kota Belud.

Sabtu, 21 November 2009

KONSPIRASI POLITIK IRRANUN



















Sedar atau tidak Idris Kisab semakin mengukir nama dalam persada politik Kota Belud. Nama Idris Kisab mula melonjak sejak memenangi pemilihan AJK Pemuda UMNO Kota Belud pada Mesyuarat Agung 2008. Namanya semakin menyerlah setelah berjaya dalam Pemilihan Wakil 2 pada Perhimpunan Tahunan UMNO 2009 bersama rakannya Husaimi Maslin.


Idris Kisab seorang ahli politik yang tidak boleh dinafikan kebijaksanaanya berpolitik walaupun boleh dikatakan setahun jagung dalam arena politik peringkat UMNO Bahagian. Keupayaan seni persilatan politik beliau terbukti telah berjaya “mengambil kesempatan dalam kesempitan”. Contoh yang paling jelas, beliau mampu menundukkan Tadzul Radim dan Barur dengan keupayaan tipu muslihatnya atau dengan istilah yang lebih mulia didengar “talam dua muka”.


Pada dasarnya beliau menyokong perjuangan Tadzul Radim namun dalam masa yang sama beliau menikam Tadzul Radim dari belakang dengan kapasiti sebagai pemberi maklumat atau dengan istilah lebih mulia sebagai “tali barut”. Dalam konspirasi tersebut beliau bukan berseorangan, Husaimi Maslin turut memainkan peranan menyalurkan maklumat. Sebagai imbalan, Barur menjanjikan sokongan dan seterusnya kemenangan kepada Idris Kisab dan kepada Husaimi Maslin sedikit cenderahati. Namun Husaimi Maslin lebih berjasa, kerana beliau merupakan wakil yang dipilih oleh Tadzul Radim sebagai Pemerhati. Dengan kapasiti sebagai pemerhati Husaimi merupakan orang yang mewakil Tadzul Radim semasa pengiraan undi dilaksanakan, dengan membuka mulut menyatakan undi rosak (untuk Tadzul), maka Barur semakin hampir mencapai kejayaan dan akhirnya amanah Barur terhadap Husaimi terbukti berjaya dilaksanakan.


Dengan kapasiti dan pengalaman saya sebagai penganalisis politik serta pejuang kemnusiaan, perkara ini bukanlah mustahil untuk dikongsikan kepada pengetahuan umum. Sepanjang penyelidikan saya mengenai senario politik di Kota Belud, pelbagai perkara mengenai hal-ehwal politik yang agak mustahil diterima akal oleh golongan bukan ahli politik “jari lurus, kelingking berkait”.


Satu persoalan utama siapa memayungi Idris Kisab? Idris Kisab merupakan insan politik yang lahir dari perancangan rapi Baghdad Turugan dan nama ini termasuk dalam master-plan Baghdad. Idris merupakan ciptaan politik sebagai alat. Seperti yang saya sebutkan tadi bahawa Idris turut terlibat sebagai orang yang turut terlibat dalam kekalahan Tadzul Radim. Dikhuatiri apabila Tadzul Radim memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Belud, maka ini melayakkan beliau sebagai salah seorang bakal calon wakil rakyat di Kota Belud. Dalam masa yang sama Baghdad berpura-pura merestui perjuangan Tadzul “ok di luar, di dalam hati siapa tahu”. Namun demikian Baghdad tidak boleh mengisytiharkan diri untuk menawarkan diri secara terang-terangan sebagai bakal wakil rakyat. Baghdad mewujudkan bom jangka yang akan meletup tanpa disedari dan saatnya meletup, pihak pesaing sudah terlambat untuk menyedarinya. Maka dengan itu beliau turut mempergunakan Roslan Haji Manshor sebagai umpan kepada Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia pemimpin sukubangsa Irranun. Namun Tan Sri dengan lebih senang dikenali sebagai Pa’min, bukanlah budak ingusan, Pa’min dapat membaca gerak langkah Baghdad yang cuba merosakkan imej pemimpin sukubangsa tersebut di mata masyarakat Irranun supaya Pa’min kelihatan sebagai pihak yang membunuh kerjaya politik Tadzul. Dalam masa yang sama Baghdad cuba merenggangkan hubungan Roslan Haji Manshor dengan Datuk Haji Musbah Haji Jamli. Apabila beliau mendapati Roslan semakin mendapat tempat di hati Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said, Baghdad turut merencanakan untuk mewujudkan satu lagi watak politik di Daerah Kota Belud, namun beliau tidak mampu melaksanakan rencana tersebut. Akhirnya beliau menyedari lebih mudah melalui Datuk Haji Musbah kerana Baghdad sedia maklum bahawa Musbah sangat rapat dengan Datuk Seri Panglima Musa Bin Aman.


Kesinambungan daripada itu lahirlah Datin Saida. Dengan situasi menang-menang iaitu Musa Aman menang, Musbah Menang dan Baghdad turut juga menang. Datin Saida bakal membunuh kerjaya politik Salleh Tun Said dan kewujudan Datin Saida turut merenggangkan hubungan Roslan dengan Salleh Tun Said. Begitu hebat dan teliti perancangan Baghdad. Namun demikian mampukah Baghdad mewujudkan rencana sedemikian rupa secara bersendirian? Fikir-fikirkanlah!

Khamis, 19 November 2009

APA/ KENAPA SYARIKAT TITIAN JASA ENTERPRISE?












Titian Jasa Enterprise merupakan syarikat milik Sdra Baghdad Hj. Torugan dan kemudiannya memasukan nama anak lelakinya sebagai rakan kongsi. Kini beliau berundur sementara daripada pengurusan syarikat Titian Jasa Enterprise.


Sedikit latarbelakang Sdra Baghdad Hj. Torugan. Beliau merupakan seorang Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) bagi DUN N6 Tempasuk dalam kawasan Parlimen P.169 Kota Belud. Beliau merupakan orang kanan yang sangat dipercayai oleh ADUN N6 Tempasuk; Datuk Haji Musbah Haji Jamli (DHMJ).


Sdra Baghdad merupakan seorang TOKOH KONTRAKTOR POLITIK yang paling disegani di Kota Belud. Keserasian beliau dengan DHMJ tampak jelas kerana kedua-duanya merupakan TOKOH KONTRAKTOR POLITIK.


Peluang Sdra Baghdad terbentang luas setelah DHMJ melantik beliau sebagai PKR N6 Tempasuk. Beliau seorang yang bijak kerana pandai memanfaatkan peluang yang ada untuk menambahkan harta kekayaan beliau. Dengan kuasa yang ada sebagai PKR, beliau mengekploitasi sepenuhnya kuasa yang diamanahkan oleh DHMJ untuk membolot segala projek di DUN Tempasuk, dari sekecil-kecil projek hingga sebesar-besar projek dimonopoli oleh syarikat Titian Jasa Enterprise.


Jika ditakdirkan beliau masih lagi memegang jawatan PKR dalam setahun lagi maka matlamat beliau menjadikan Titian Jasa Enterprise sebagai syarikat konglomerat Politik di Kota Belud akan menjadi kenyataan.


Syabas dan Tahniah, kerana sdra Baghdad berjaya menjadikan DHMJ sebagai kuda tunggangan dalam usaha mencapai matlamatnya. Namun demikian mengaut harta kekayaan bukanlah matlamat akhir Sdra Baghdad sebenarnya. Kuasa merupakan matlamat akhir sebenar beliau. Namaun bagaimana beliau memperolehi kuasa adalah melalui kekayaan, ini kerana bijak pandai menyatakan “ kalau ada wang semuanya boleh jadi”. Beliau bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat di DUN Tempasuk (atau Pesisir Pantai sekirannya telah wujud).


Segala projek yang dikendalikan oleh Titian Jasa Enterprise akan saya siarkan sementara saya mengumpul data sekaligus diserahkan kepada SPRM untuk membantu siasatan.

Sekian, Selamat Sejahtera.